Gaji Minimum Sektor Swasta telah diumumkan oleh
YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Hj. Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia
dalam Majlis Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta yang telah diadakan pada 30
April 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). YAB Perdana
Menteri dalam ucapan beliau telah mengumumkan tiga perkara
penting berkaitan gaji minimum iaitu:
1.
Gaji minimum akan meliputi pekerja dalam
semua sektor ekonomi di seluruh negara, kecuali pekhidmat
domestik, yakni pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya;
2.
Kadar gaji minimum bagi Semenanjung
Malaysia ditetapkan pada kadar RM900 sebulan atau RM4.33 sejam, sementara
bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM 800
sebulan atau RM3.85 sejam. Kerajaan juga menyediakan mekanisme
pelaksanaan supaya gaji minimum yang ditetapkan ini tidak membebankan
majikan dan tidak merugikan para pekerja dengan membenarkan penyerapan
sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum; dan
3.
Tarikh mula kuat kuasa
pelaksanaan gaji minimum ialah 6 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum
diwartakan. Walau bagaimanapun,
untuk memberi ruang dan peluang kepada majikan kecil atau ‘micro
enterprises’ membuat persediaan sepenuhnya agar perniagaan mereka tidak
terjejas, tempoh kuat kuasa bagi kategori ini ialah 12 bulan daripada
tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.
Pengecualian 12 bulan ini tidak meliputi kepada
firma profesional seperti klinik-klinik pergigian dan perubatan, firma
guaman, firma arkitek, firma juru perunding dan sebagainya, walaupun mereka
mempunyai bilangan pekerja 5 orang atau kurang, mereka perlu mematuhi gaji
minimum ini dalam masa 6 bulan.
Rakyat Malaysia khususnya majikan dan pekerja
sektor swasta dialu-alukan untuk menyalurkan maklum balas, pandangan dan
pertanyaan berkaitan Gaji Minimum Sektor Swasta yang telah diumumkan dan pihak
Kementerian akan memberikan jawapan dan maklum balas sewajarnya.