GAJI MINIMUM SEKTOR SWASTA


PENGUMUMAN

Majlis Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta akan diadakan pada 30 April 2012 di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya

Pengenalan KSM

Kata-kata aluan Y.B Menteri

Tuan/ puan yang dihormati,

Salam 1Malaysia

Selaras dengan konsep “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji kemungkinan pelaksanaan gaji minimum kebangsaan untuk pekerja sektor swasta di Malaysia. Kajian ini juga selaras dengan hala tuju Kerajaan untuk merealisasikan Model Ekonomi Baru (MEB) yang berteraskan ekonomi berpendapatan tinggi dan usaha mempertingkatkan taraf hidup isirumah berpendapatan rendah.

Tidak dinafikan, masih terdapat segelintir rakyat yang hidup di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PLI), malahan ramai pekerja yang menerima upah kurang daripada RM750 sebulan. Sebagai contoh, analisis gaji yang ditawarkan oleh majikan dalam program Fast Track KSM bagi bulan Oktober - Disember 2009, menunjukkan gaji purata pekerja tempatan seperti dalam jadual berikut: Jadual 1 : FastTrack: Gaji dan Elaun Purata Pekerja Tempatan mengikut Sub-Industri Sektor Pembuatan

Berdasarkan kiraan gaji purata bagi lima sub-sektor berkenaan iaitu Elektrik & Elektronik, Perabot, Plastik, Sarung Tangan Getah dan Tekstil, gaji pokok purata adalah RM626.76 sebulan manakala gaji kasar purata termasuk elaun-elaun tetap adalah RM762.20 sebulan.

Peningkatan kos sara hidup terutamanya harga barang keperluan harian yang semakin meningkat, golongan berpendapatan rendah ini menghadapi kesulitan untuk memenuhi keperluan hidup mereka terutamanya di kawasan bandar. Cadangan penetapan gaji minimum kebangsaan sekurang-kurangnya akan dapat mengurangkan permasalahan ini.

Namun demikian, sesetengah pihak berpendapat penetapan gaji minimum kebangsaan akan membawa kepada implikasi negatif kerana ia boleh menjejaskan kuasa pasaran (distort market forces). Pelaksanaan gaji minimum juga boleh menyebabkan ‘kehilangan’ beberapa kategori pekerjaan di peringkat rendah yang masih ada permintaan terutamanya untuk golongan yang mudah terjejas (vulnerable groups) khususnya mereka yang bekerja di luar bandar dan secara tidak langsung akan meningkatkan kadar pengangguran negara.

Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia amat mengalu-alukan sebarang pandangan, pendapat, idea, cadangan dan komen yang boleh disalurkan melalui blog ini atau menerusi e-mail: gaji-minimum@mohr.gov.my bagi membantu Kerajaan dalam menggubal dasar dan strategi mengenai gaji minimum.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan pelaksanaan gaji minimum, sila layari pautan gaji minimum yang disediakan.

Kerjasama tuan/ puan amat saya hargai dan didahului dengan berbanyak-banyak ucapan terima kasih.

Datuk Dr. S. Subramaniam
Menteri Sumber Manusia








Tuesday, February 9, 2010

Gaji Minimum

Gaji minimum mengikut definisi International Labour Organization (ILO) ialah upah minimum yang patut dibayar kepada pekerja untuk kerja atau perkhidmatan yang dilakukan dalam tempoh tertentu, sama ada dikira berdasarkan masa atau output, yang tidak boleh dikurangkan sama ada oleh individu atau menerusi perjanjian kolektif, dijamin oleh undang-undang dan ditetapkan bertujuan untuk menampung keperluan minimum kehidupan pekerja dan keluarganya berasaskan keadaan sosio-ekonomi sesebuah negara.

Gaji minimum kebangsaan adalah ditetapkan oleh Kerajaan atau pihak tripartite (wakil kerajaan, wakil majikan dan wakil pekerja). Ia merupakan model yang paling banyak digunakan di seluruh dunia dan terbahagi kepada 2 kategori iaitu satu kadar seragam gaji minimum kebangsaan untuk seluruh negara, atau kadar gaji minimum berbeza mengikut sektor / wilayah.

There was an error in this gadget