GAJI MINIMUM SEKTOR SWASTA


PENGUMUMAN

Majlis Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta akan diadakan pada 30 April 2012 di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya

Pengenalan KSM

Kata-kata aluan Y.B Menteri

Tuan/ puan yang dihormati,

Salam 1Malaysia

Selaras dengan konsep “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji kemungkinan pelaksanaan gaji minimum kebangsaan untuk pekerja sektor swasta di Malaysia. Kajian ini juga selaras dengan hala tuju Kerajaan untuk merealisasikan Model Ekonomi Baru (MEB) yang berteraskan ekonomi berpendapatan tinggi dan usaha mempertingkatkan taraf hidup isirumah berpendapatan rendah.

Tidak dinafikan, masih terdapat segelintir rakyat yang hidup di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PLI), malahan ramai pekerja yang menerima upah kurang daripada RM750 sebulan. Sebagai contoh, analisis gaji yang ditawarkan oleh majikan dalam program Fast Track KSM bagi bulan Oktober - Disember 2009, menunjukkan gaji purata pekerja tempatan seperti dalam jadual berikut: Jadual 1 : FastTrack: Gaji dan Elaun Purata Pekerja Tempatan mengikut Sub-Industri Sektor Pembuatan

Berdasarkan kiraan gaji purata bagi lima sub-sektor berkenaan iaitu Elektrik & Elektronik, Perabot, Plastik, Sarung Tangan Getah dan Tekstil, gaji pokok purata adalah RM626.76 sebulan manakala gaji kasar purata termasuk elaun-elaun tetap adalah RM762.20 sebulan.

Peningkatan kos sara hidup terutamanya harga barang keperluan harian yang semakin meningkat, golongan berpendapatan rendah ini menghadapi kesulitan untuk memenuhi keperluan hidup mereka terutamanya di kawasan bandar. Cadangan penetapan gaji minimum kebangsaan sekurang-kurangnya akan dapat mengurangkan permasalahan ini.

Namun demikian, sesetengah pihak berpendapat penetapan gaji minimum kebangsaan akan membawa kepada implikasi negatif kerana ia boleh menjejaskan kuasa pasaran (distort market forces). Pelaksanaan gaji minimum juga boleh menyebabkan ‘kehilangan’ beberapa kategori pekerjaan di peringkat rendah yang masih ada permintaan terutamanya untuk golongan yang mudah terjejas (vulnerable groups) khususnya mereka yang bekerja di luar bandar dan secara tidak langsung akan meningkatkan kadar pengangguran negara.

Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia amat mengalu-alukan sebarang pandangan, pendapat, idea, cadangan dan komen yang boleh disalurkan melalui blog ini atau menerusi e-mail: gaji-minimum@mohr.gov.my bagi membantu Kerajaan dalam menggubal dasar dan strategi mengenai gaji minimum.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan pelaksanaan gaji minimum, sila layari pautan gaji minimum yang disediakan.

Kerjasama tuan/ puan amat saya hargai dan didahului dengan berbanyak-banyak ucapan terima kasih.

Datuk Dr. S. Subramaniam
Menteri Sumber Manusia








Wednesday, July 18, 2012

Pewartaan Perintah Gaji Minimum 2012



Perintah Gaji Minimum 2012 telah diwartakan pada 16 Julai 2012 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013 bagi majikan yang menggaji enam orang pekerja atau lebih. Tarikh permulaan kuat kuasa ini juga terpakai kepada majikan yang menjalankan aktiviti-aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) tanpa mengira bilangan pekerja yang diambil bekerja.

Majikan yang menggaji lima orang pekerja atau kurang, tarikh permulaan kuat kuasa Perintah adalah pada 1 Julai 2013. Maklumat lanjut mengenai warta dalam MINIMUM WAGES ORDER 2012 P.U. (A) 214/2012 boleh dirujuk secara on-line di laman web rasmi Kementerian Sumber Manusia atau www.federalgazette.agc.gov.my





Wednesday, May 2, 2012

GAJI MINIMUM SEKTOR SWASTA


Gaji Minimum Sektor Swasta telah diumumkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Hj. Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dalam Majlis Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta yang telah diadakan pada 30 April 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). YAB Perdana Menteri dalam ucapan beliau telah mengumumkan tiga perkara penting berkaitan gaji minimum iaitu: 

1.           Gaji minimum akan meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi di seluruh negara, kecuali pekhidmat domestik, yakni pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya;

2.           Kadar gaji minimum bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM900 sebulan atau RM4.33 sejam, sementara bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM 800 sebulan atau RM3.85 sejam. Kerajaan juga menyediakan mekanisme pelaksanaan supaya gaji minimum yang ditetapkan ini tidak membebankan majikan dan tidak merugikan para pekerja dengan membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum; dan


3.           Tarikh mula kuat kuasa pelaksanaan gaji minimum ialah 6 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan. Walau bagaimanapun, untuk memberi ruang dan peluang kepada majikan kecil atau ‘micro enterprises’ membuat persediaan sepenuhnya agar perniagaan mereka tidak terjejas, tempoh kuat kuasa bagi kategori ini ialah 12 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.

Pengecualian 12 bulan ini tidak meliputi kepada firma profesional seperti klinik-klinik pergigian dan perubatan, firma guaman, firma arkitek, firma juru perunding dan sebagainya, walaupun mereka mempunyai bilangan pekerja 5 orang atau kurang, mereka perlu mematuhi gaji minimum ini dalam masa 6 bulan.

Rakyat Malaysia khususnya majikan dan pekerja sektor swasta dialu-alukan untuk menyalurkan maklum balas, pandangan dan pertanyaan berkaitan Gaji Minimum Sektor Swasta yang telah diumumkan dan pihak Kementerian akan memberikan jawapan dan maklum balas sewajarnya.

Tuesday, March 23, 2010

Pandangan MEF Mengenai Gaji Minimum

Pembangunan Ekonomi Yang Tidak Seragam

Dalam membincangkan keberkesanan pelaksanaan Gaji Minimum di Malaysia, keadaan struktur ekonomi semasa negara perlu diambil kira. Perkembangan pesat yang berlaku sekarang sememangnya dihargai dengan kewujudan sektor yang besar di kawasan luar bandar. Di kawasan luar bandar, perusahaan yang dijalankan adalah perniagaan yang sangat kecil seperti kedai runcit, warung, perkhidmatan bengkel motor dan kiosh-kiosh petrol. Data menunjukkan bahawa sebanyak 99 peratus syarikat di Malaysia adalah dalam terdiri daripada Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Sekiranya penetapan gaji minimum dilaksanakan maka ini hanya akan menyebabkan banyak syarikat IKS terpaksa ditutup dan mengakibatkan kesukaran kepada penduduk sekitarnya. Kerajaan seharusnya membantu membangunkan syarikat-syarikat kecil ini dan tidak membebankan mereka dengan penetapan Gaji Minimum kebangsaan. Selain itu, ini akan meningkatkan kadar penggangguran kerana syarikat-syarikat kecil tidak dapat meneruskan operasi mereka kerana kos buruh yang semakin meningkat.

Sistem Sedia Ada Memadai

Buat masa ini, secara prinsipya upah ditentukan berdasarkan kepada kuasa pasaran dan bagi pekerja yang mempunyai kesatuan, mereka akan berunding dengan majikan dalam menentukan kadar upah yang dipersetujui oleh pihak pekerja dan majikan. Kaedah penetapan upah ini membolehkan terdapat perbezaan upah berdasarkan kepada perbezaan bentuk perniagaan yang dijalankan oleh syarikat, saiz syarikat, lokasi perniagaan di mana terdapatnya perbezaan dalan kos dalam menjalankan perniagaan. Kaedah ini adalah jauh lebih baik daripada penetapan kadar gaji minimum. Undang-undang perburuhan juga memberikan ruang yang mencukupi kepada pekerja dan majikan untuk berunding dalam menentukan kadar gaji yang sesuai untuk mereka. Undang-undang memperuntukan bahawa Perjanjian Kolektif akan dijadikan kontrak dalam pekerjaan yang akan digunapakai kepada semua pekerja dan membatalkan kontrak-kontrak yang lain. Perjanjian Kolektif ini tidak akan dipindah atau dibatalkan tanpa adanya persetujuan di antara pekerja dan majikan.

Dalam konteks Malaysia, keharmonian industri adalah matlamat yang harus dikekalkan. Sistem perhubungan industri yang wujud sekarang membenarkan majikan dan pekerja menyelesaikan sebarang masalah yang wujud secara bersama. Sekiranya persepakatan gagal dicapai maka khidmat perundingan akan digunakan. Apabila persepakatan gagal juga dicapai maka Mahkamah Perusahaan akan mendengar perkara tersebut dan memberikan arahan yang akan mengikat kedua-dua pihak apa yang lebih penting ialah mengelakkan tindakan perindustrian. Sistem yang ada sekarang adalah memadai dan sekiranya penetapan gaji minimum kebangsaan dilaksanakan, ia akan menyebabkan sistem tidak fleksibel dan akan mengganggu hubungan di antara majikan dan pekerja.

Mereka yang mengusulkan penetapan gaji minimum kebangsaan berbuat demikian berdasarkan pendapat yang salah di mana pekerja akan menikmati gaji yang setimpal; mengelakkan eksploitasi; mengurangkan kemiskinan; dan memastikan upah yang dibayar adalah sesuai dengan kerja yang dijalankan. Seharusnya kita tidak menyatakan bahawa objektif ini hanya boleh dicapai jika sekiranya perkembangan ekonomi memberangsangkan. Ekonomi yang sentiasa berkembang maju akan turut meningkatkan penerimaan kadar upah kerana peningkatan kemakmuran negara akan meningkatkan upah. Penetapan gaji minimum tidak menjamin kepada perkembangan ekonomi negara.

Gaji Minimum Akan Menjejaskan Daya Saing

Perniagaan yang dijalankan berkait rapat dengan senario persaingan dan kos untuk menjalankan perniagaan adalah fakor penting dalam menjalankan sesuatu urusniaga. Kesannya bukan sahaja ingin mengekalkan penglibatan berterusan para pelabur asing bahkan juga keupayaan Kerajaan untuk menarik para pelabur asing yang baru. Hal ini terbukti sekiranya kos buruh meningkat melebihi paras yang difikirkan berpatutan oleh majikan, ini akan menyebabkan sesetengah majikan bersedia untuk menutup operasi mereka dan berpindah ke negara lain yang menawarkan kos buruh yang lebih munasabah. Terdapat banyak syarikat yang terpaksa menutup operasi mereka semasa krisis ekonomi yang berlaku baru-baru ini. Meskipun terdapat tanda-tanda pemulihan ekonomi, namum pertumbuhannya tidak menyeluruh dan prestasi syarikat dan sektor adalah tidak sekata.

MEF berpendapat bahawa dalam menggubal dasar yang tepat berkaitan dengan penetapan upah, adalah penting untuk menanamkan kepercayaan di kalangan pelabur asing dalam ekonomi; membantu syarikat mendapatkan kembali kos daya saing; membuka peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran. Penetapan Gaji Minimum Kebangsaan jelas menunjukkan bahawa ianya adalah satu langkah yang kurang sesuai. Apa yang Kerajaan, Majikan dan Kesatuan sekerja perlu lakukan adalah mempromosikan dan mempraktikkan sistem upah berdasarkan kepada prestasi.

MEF menyokong pendirian Kerajaan bahawa Malaysia buat masa ini masih belum bersedia untuk melaksanakan dasar gaji minimum, ini kerana sekiranya dasar ini dilaksanakan dikhuatiri akan menyebabkan para pelabur asing meninggalkan negara ini seterusnya akan menghalang minat para pelabur asing yang baru untuk melabur di dalam negara.

Aspek Statistik dalam penentuan gaji minimum

Sistem Gaji minimum walaubagaimana pun bentuknya, tidak akan berjaya berfungsi kecuali bepandukan statistik yang tepat, boleh dipercayai dan terkini berdasarkan data-data seperti pendapatan, upah, harga dan ciri-ciri penerima upah (jantina, pekerjaan, tahap kemahiran dan sebagainya). Ia memerlukan sistem sokongan statistik perburuhan berdasarkan kepada program kajian establishment yang dilakukan secara berkala, kajian guna tenaga isi rumah yang kerap, kajian perdapatan dan perbelanjaan isi rumah dan pengumpulan statistik yang berterusan daripada sistem pentadbiran. Melaksankan penetapan gaji minimum bukanlah suatu perkara yang mudah. Menurut Konvensyen ILO 131 dan Cadangan 135 mengenai gaji minimum yang merujuk khas kepada negara-negara membangun telah menyatakan bahawa kreteria-kriteria penetapan gaji minimum adalah seperti berikut; keperluan asas pekerja dan isi rumahnya, upah umum dalam negara, kos sara hidup, faedah keselamatan sosial, standard hidup yang relatif dengan kumpulan sosial yang lain; dan faktor ekonomi, termasuklah keperluan perkembangan ekonomi, tahap produktiviti, keinginan untuk mencapai dan mengekalkan tahap tenaga kerja yang tinggi. Adalah sukar bagi Malaysia untuk menentukan gaji minimum yang “tepat” dengan menganbil kira kewajaran yang sepatutnya diberikan untuk setiap faktor-faktor tersebut.


Pandangan Kesatuan Pekerja

Merapatkan jurang antara kaya dan miskin serta mengurangkan kemiskinan

Beberapa negara di sekitar Malaysia telah melaksanakan peraturan gaji minimum kebangsaan seperti Thailand dan Filipina. Walau bagaimana pun, tiada bukti kukuh untuk mengatakan bahawa nasib pekerja-pekerja di sana lebih baik berbanding pekerja di Malaysia berikutan penetapan gaji minimum. Sebaliknya, pendapatan pekerja di Malaysia semenjak kemerdekaan secara konsisten telah meningkat dalam semua sektor tanpa penetapan gaji minimum kebangsaan.

Konsep gaji minimum sering disamaertikan dengan konsep minimum living wage untuk membolehkan pekerja memenuhi keperluan asas mereka. Apabila kita bercakap mengenai keperluan asas, kita merujuk kepada golongan miskin, mereka yang berada di bawah pendapatan garis kemiskinan seperti yang dinyatakan oleh Kerajaan. Istilah ‘gaji’ bermaksud kewujudan kontrak pekerjaan antara majikan dan pekerja. Walau bagaimana pun, mereka yang berada di bawah pendapatan garis kemiskinan selalunya tiada pekerjaan bergaji, contohnya penduduk miskin di kawasan luar bandar.

Sekalipun peraturan gaji minimum dilaksanakan, ia tidak dapat membantu mereka yang miskin untuk keluar dari kepompong kemiskinan memandangkan mereka bukan pekerja yang bergaji. Jika demikian, apa perlunya gaji minimum? Pihak MTUC semestinya berpandangan bahawa ia akan meningkatkan kadar gaji terendah, namun demikian, ia seharusnya bergantung kepada tahap yang ditentukan sebagai gaji minimum. Perkara ini adalah sangat penting untuk dipertimbangkan. Indonesia dan Thailand contohnya menetapkan kadar gaji minimum yang terlalu rendah sehingga ianya tidak menggambarkan “minimum try me wage”, yang mungkin bertujuan untuk memastikan ramai majikan mematuhinya.

Namun demikian, terdapat keburukan di sebalik kepatuhan majikan yang tinggi terhadap kadar gaji minimum yang ditetapkan. Sesetengah majikan mungkin mampu membayar gaji yang lebih tinggi tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian terutamanya semasa kadar pengangguran tinggi seperti yang sedang berlaku di Indonesia. Pandangan bahawa gaji minimum akan meningkatkan kadar gaji terendah – adakalanya melindungi golongan yang mudah terjejas – adalah tidak kena pada tempatnya dan tidak dapat dibuktikan.

Satu laporan Suruhanjaya Diraja di United Kingdom pada tahun 1968 menyimpulkan bahawa perlindungan dari segi undang-undang tidak meningkatkan gaji golongan pekerja yang bergaji rendah berbanding dengan pekerja lain. Sekalipun gaji minimum dapat meningkatkan kadar gaji – bertentangan dengan hasil penemuan laporan – dalam situasi kurang guna tenaga penuh, ia hanya akan menyebabkan peningkatan kadar pengangguran.

Benarkah gaji di sektor perladangan rendah?

Di bawah Perjanjian Gaji Penoreh Getah MAPA/NUPW, kenaikan gaji antara 9% dan 13% telah diberikan dan komponen-komponen berikut dibayar kepada penoreh getah berdasarkan prestasi mereka:

a) Komponen bulanan sebanyak RM95.00 sekiranya menoreh sekurang-kurangnya 26 tugas sebulan
b) Komponen harian sebanyak RM13.50 satu tugas
c) Insentif sekiranya lateks melebihi 11 kg, kadar terkini adalah 73 sen per kg
d) Insentif getah sekerap basah sebanyak 20 sen per kg
e) bonus harian berdasarkan harga getah, kadar terkini RM17.60 sehari
f) Jaring keselamatan sebanyak RM350 sebulan tidak termasuk bonus harga dan insentif out turn

Penoreh getah mampu memperoleh pendapatan serendah RM800 sebulan dan boleh mencecah RM1,500 sebulan. Sistem gaji flexi ini adalah standing dengan sistem-sistem yang digunakai di negara lain. Di samping itu, majikan juga menyediakan kemudahan-kemudahan percuma seperti tempat tinggal, bekalan air dan elektrik, rawatan perubatan, asuhan kanak-kanak dan tanah untuk diusahakan yang dianggarkan bernilai antara RM 350 dan RM450 sebulan. Sehubungan itu, tuduhan yang kononnya pekerja ini dibayar gaji rendah adalah tidak berasas.

Penutup

Cadangan pelaksanaan gaji minimum kebangsaan di Malaysia adalah tidak produktif. Sistem upah sedia ada berfungsi dengan baik dalam konteks pembangunan Negara kita. Badan-badan yang mengawal selia pertikaian mengenai gaji telah menjalankan tugas dengan lancar dan berkesan, manakala hubungan industri yang harmoni dapat dikekalkan sepanjang tahun. Langkah ke hadapan yang lebih positif dalam perundingan gaji harus berpandukan kepada mengaitkan upah dengan produktiviti. MEF sejak sekian lama menyokong sistem upah berdasarkan produktiviti yang mengambil kira prestasi syarikat dan individu. Berdasarkan hujah-hujah di atas, penetapan gaji minimum kebangsaan adalah tidak mempunyai justifikasi dan tidak berasas.

Pandangan MTUC Mengenai Gaji Minimum

Isu mengenai gaji minimum untuk pekerja di Malaysia bukanlah suatu perkara baru. MTUC sejak bertahun-tahun telah menyuarakannya. Ianya agak rancak diperkatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tampaknya perjuangan untuk mendapatkan gaji minimum masih belum membuahkan kejayaan. Tidak dapat dinafikan bahwa hal yang berkaitan dengan gaji atau pendapatan ada kaitannya dengan perkara kemiskinan. Masih kedapatan di Malaysia bahwa pekerja-pekerja menerima gaji pokok (basic wages) dibawah paras kemiskinan.

Kos hidup di Malaysia saban hari terus meningkat sedangkan pendapatan pekerja tidak dapat mengimbangi perbelanjaan yang kena ditanggung. Kita tidak dapat membayangkan bagaimanakah keadaan kehidupan pekerja nanti setelah subsidi beberapa barangan dan perkhidmatan ditarik balik. Tanpa gaji atau pendapatan yang munasabah sudah tentulah kehidupan mereka yang berpendapatan rendah akan menjadi bertambah teruk berbanding dengan keadaan sebelum ini. Jelasnya, gaji mereka tetap sama namun kuasa beli yang ada semakin merosot.

Para majikan pula, atas kehendak mereka sendiri, tidak akan menaikkan upah atau gaji pekerja-pekerja yang bergelut untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan yang ada sekarang untuk menyara diri dan tanggungannya. Oleh hal yang demikian campur tangan pemerintah dalam memperkenalkan undang-undang bagi gaji minimum adalah sangat diperlukan.Objektif dan hasrat pemerintah Malaysia untuk mencapai Model Ekonomi Berpendapatan Tinggi agak sukar dicapai tanpa adanya gaji minimum yang munasabah.

Banyak orang yang berkata, termasuk Menteri Sumber Manusia, bahwa pekerja tempatan tidak mahu bekerja dengan syarikat-syarikat swasta akibat dari gaji yang ditawarkan adalah agak rendah. Tambang untuk pergi ke tempat kerja dan balik telah meningkat. Begitu juga dengan kos makan minum turut meningkat. Akibat dari sistem pengangkutan awam yang tidak effisien maka ianya memaksa para pekerja menggunakan kenderaan mereka sendiri yang tentunya akan meningkatkan kos hidup.

Dalam abad ini sepatutnya kita tidak lagi mendengar atau melihat berita bahwa pekerja masih ditindas dan diainayai. Akan tetapi penindasan ke atas pekerja masih berlaku. Majikan masih membayar gaji yang rendah yang tidak selaras dengan kos hidup terutama sekali bagi mereka yang berada di Lembah Kelang. Hujah yang menyatakan bahwa: 'biarlah kuasa pasar (market forces) menentukan paras gaji' tidak hanya membuatkan para pekerja terus ditindas malah ianya akan memburukkan lagi taraf kehidupan mereka.

MTUC masih berpendirian bahwa pekerja di Malaysia hendaklah dibayar gaji pada paras RM1,200 (termasuk Elaun Kos Hidup/COLA RM300) seperti mana yang telah dikemukakan kepada pemerintah sebelum ini. Masanya sudah sampai bagi sebuah negara seperti Malaysia yang bakal menjadi sebuah negara 'maju' tidak berapa lama lagi memperkenalkan undang-undang gaji minimum. Banyak negara di dunia ini telahpun menetapkan gaji minimum sejak lama dulu termasuk negara-negara jiran kita di rantau ini. Barang diingat bahwa gaji minimum tidak bermakna bahwa gaji tersebut akan beku pada paras tersebut. Dalam kata mudah gaji minimum bukanlah akan menjadi maksimum!

Tuesday, February 9, 2010

Gaji Minimum

Gaji minimum mengikut definisi International Labour Organization (ILO) ialah upah minimum yang patut dibayar kepada pekerja untuk kerja atau perkhidmatan yang dilakukan dalam tempoh tertentu, sama ada dikira berdasarkan masa atau output, yang tidak boleh dikurangkan sama ada oleh individu atau menerusi perjanjian kolektif, dijamin oleh undang-undang dan ditetapkan bertujuan untuk menampung keperluan minimum kehidupan pekerja dan keluarganya berasaskan keadaan sosio-ekonomi sesebuah negara.

Gaji minimum kebangsaan adalah ditetapkan oleh Kerajaan atau pihak tripartite (wakil kerajaan, wakil majikan dan wakil pekerja). Ia merupakan model yang paling banyak digunakan di seluruh dunia dan terbahagi kepada 2 kategori iaitu satu kadar seragam gaji minimum kebangsaan untuk seluruh negara, atau kadar gaji minimum berbeza mengikut sektor / wilayah.

Kongsikan Bersama